Ketika saya memandu pulang selepas makan tengah hari bersama dengan rakan baik saya, dengan suara yang kuat saya mengungkapkan ucapan syukur kepada Tuhan untuk rakan baik saya ini. Rakan saya mengenal dan mengasihi saya walaupun ada perkara yang saya tidak suka tentang diri saya. Dia tergolong dalam segelintir orang yang menerima saya seadanya termasuk tabiat, kesilapan dan sifat aneh saya. Tetapi ada kisah hidup saya yang tidak dapat berkongsi dengan dia dan orang yang saya kasihi—pada waktu kelemahan saya, ketika saya bersikap menghakimi, tidak berbaik hati atau tidak menunjukkan kasih.

Tetapi Tuhan mengetahui seluruh kisah saya. Hanya kepada Tuhan, saya boleh berbicara dengan bebas walaupun saya terkadang sukar untuk bercakap dengan orang lain.

Kata-kata Mazmur 139 menggambarkan keakraban yang kita nikmati dengan Raja Yang Terutama kita. Dia mengenal kita sepenuhnya! (ayat 1). Dia “mengetahui segala perbuatan [kita]” (ayat 3). Dia mengajak kita datang kepada-Nya ketika kita dalam keadaan bingung, cemas dan bergelut dengan godaan. Ketika kita bersedia untuk berserah penuh kepada-Nya, Dia akan menghulurkan tangan-Nya untuk memulihkan dan menulis semula bahagian-bahagian kisah kehidupan yang membuat kita sedih kerana kita telah menjauhi-Nya.

Tuhan lebih mengenal kita daripada orang lain. Dia mengasihi kita! Setiap hari, ketika kita menyerahkan diri kepada-Nya dan berusaha untuk mengenal Dia sepenuhnya, Dia dapat mengubah kisah kita untuk kemuliaan-Nya. Dialah Penulis yang terus mengarang kisah hidup kita.