Billy Graham, seorang penginjil berbangsa Amerika yang terkenal pernah menceritakan pergelutannya untuk mempercayai kebenaran Alkitab sepenuhnya. Pada suatu malam ketika dia berjalan sendirian di bawah sinar bulan di pusat retret Pergunungan San Bernardino, dia berlutut dan meletakkan Alkitabnya di atas tunggul kayu dan hanya mampu berdoa dengan tergagap-gagap: “Ya Tuhan! Terdapat banyak perkara dalam Alkitab yang aku tidak faham.”

Dengan mengakui keraguannya, Graham berkata bahawa akhirnya Roh Kudus “membebaskan aku untuk mengatakan ini. ‘Bapa, aku akan menerima semua ini sebagai firman-Mu—dengan iman!’ ” Ketika dia berdiri, persoalannya masih ada, tetapi dia berkata, “Aku tahu peperangan rohani dalam jiwaku telah dikalahkan dan Tuhan telah memberi aku kemenangan.”

Nabi muda Yeremia juga berjuang dalam peperangan rohani. Akan tetapi dia secara konsisten mencari jawapan dalam Alkitab. “Engkau berfirman kepadaku, dan aku mendengarkan setiap firman-Mu; … firman-Mu memberikan kesukaan dan kebahagiaan kepadaku” (Yeremia 15:16). Dia mengatakan, “Perkhabaran-Mu bagaikan api yang membara dalam hati sanubari” (20:8–9). Charles Spurgeon, seorang penginjil pada abad ke-19 menulis, “[Yeremia] menyingkapkan satu rahsia kepada kita. Dalam kehidupannya, terutama pelayanannya yang setia terdorong oleh kasihnya terhadap firman Tuhan yang diberitakannya.”

Kita juga dapat membentuk kehidupan kita melalui hikmat Alkitab walaupun kita mengalami pergelutan hidup. Dengan iman, kita boleh terus belajar seperti biasa.