Ayah Sam terpaksa lari untuk menyelamatkan diri semasa berlaku rampasan kuasa di negaranya. Kerana kehilangan sumber pendapatan secara tiba-tiba, keluarganya tidak lagi mampu membeli ubat untuk adik lelaki Sam meneruskan hidup. Dengan perasaan marah terhadap Tuhan, Sam berfikir, Apakah yang telah kita lakukan sampai hal ini menimpa kita?

Seorang yang percaya kepada Yesus mendengar tentang masalah keluarga Sam. Setelah memperoleh wang yang cukup, dia membelikan ubat dan membawanya kepada mereka. Bantuan orang asing ini yang menyelamatkan nyawa telah membawa kesan yang mendalam. “Ahad ini, kita akan pergi ke gereja lelaki ini,” kata ibunya. Kemarahan Sam mula reda. Akhirnya, satu demi satu ahli keluarga mereka percaya kepada Yesus.

Ketika Yakobus menulis tentang iman kita dalam Kristus harus disertakan gaya hidup yang berintegriti, dia menekankan keperluan untuk menjaga orang lain. Yakobus menulis, “Andaikan seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan tidak mempunyai cukup makanan. Tidak ada gunanya kamu berkata kepadanya, ‘Allah memberkati kamu! Pakailah baju panas dan makanlah dengan secukupnya!’—jika kamu tidak memberikan keperluan sehari-hari kepadanya” (Yakobus 2:15-16).

Tindakan kita menunjukkan kesejatian iman kita. Nyata sekali bahawa tindakan dapat mempengaruhi orang lain memilih iman mereka. Sam kemudian menjadi seorang pastor dan menubuhkan gereja baru. Dia memanggil lelaki yang telah menolong keluarganya “Papa Mapes.” Kini dia mengenal lelaki itu sebagai bapa rohani, orang yang menunjukkan kasih Yesus kepada mereka.