Semasa pelayaran pertama Alexander Duff, mubaligh berbangsa Scotland ini pergi ke India pada tahun 1830, kapalnya karam dalam ribut di pinggir pantai Afrika Selatan. Dia dan penumpang-penumpang lain berjaya sampai ke sebuah pulau kecil yang terbiar dan tidak lama kemudian, salah seorang anak kapal menjumpai salinan Alkitab milik Duff yang tersadai di pantai. Sesudah Alkitab itu kering, Duff membacakan Mazmur 107 kepada rakan-rakannya yang masih hidup dan mereka memperoleh keberanian. Kemudian mereka diselamatkan walaupun kapal tersebut ditimpa nahas sekali lagi, akhirnya Duff tiba di India.
Mazmur 107 menyenaraikan beberapa cara Tuhan menyelamatkan orang Israel. Duff dan penumpang-penumpang lain pasti telah diyakinkan dan dikuatkan dengan Firman ini: “Dia meneduhkan angin ribut, dan ombak pun menjadi tenang. Mereka bersukacita kerana ketenangan itu, dan Dia memimpin mereka ke pelabuhan yang dituju” (ayat 29–30). Seperti orang Israel, mereka juga “bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka” (ayat 31).
Mazmur 107:28–30 menyamai petikan dalam Perjanjian Baru (Matius 8:23–27; Markus 4:35–41). Yesus dan pengikut-pengikutnya berada dalam perahu di lautan ketika berlakunya ribut yang dahsyat. Para pengikutnya berseru ketakutan, dan Yesus, Tuhan yang menjadi manusia menenangkan lautan. Kita juga boleh mendapat keberanian! Tuhan dan Penyelamat kita yang berkuasa mendengar serta menjawab seruan doa kita. Dia menenangkan kita di tengah-tengah angin ribut kehidupan kita.