Seorang petani menaiki trak dan mula memeriksa tanamannya pada pagi hari. Ketika tiba di penghujung tanah miliknya, darahnya mula mendidih. Seseorang telah menggunakan kawasan ladangnya yang terpencil sebagai tempat pembuangan sampah secara haram—sekali lagi.
Semasa mengisi traknya dengan beg sampah, petani itu menjumpai sampul surat yang tercetak alamat orang yang membuang sampah di ladangnya. Itu peluang terbaik untuk dia membalas dendam. Malam itu dia pergi ke rumah orang tersebut dan memenuhi kebunnya dengan sampah yang dibuang orang itu, malahan sampah milik petani itu!
Ada yang mengatakan bahawa membalas dendam itu manis. Tetapi adakah itu sesuatu yang benar? Dalam 1 Samuel 24, Daud dan para pengikutnya bersembunyi di sebuah gua untuk melarikan diri daripada Raja Saul yang ingin membunuhnya. Ketika Saul masuk ke gua yang sama untuk membuang air besar, para pengikut Daud melihat peluang terbaik untuk Daud membalas dendam (ayat 3-4). Tetapi Daud menentang hasratnya ini demi keadilan. Daud berkata, “Semoga TUHAN mencegah aku daripada berbuat jahat terhadap rajaku” (ayat 7). Ketika Saul mengetahui bahawa Daud memilih untuk tidak membunuhnya, dia seolah-olah tidak percaya. Dengan suara nyaring dia menangis dan mengatakan, “memang kamulah yang benar dan beta bersalah” (ayat 17-18).
Apabila kita atau orang yang kita sayangi menghadapi ketidakadilan, peluang untuk membalas dendam terhadap orang yang melakukan kesalahan tersebut mungkin akan tiba. Adakah kita akan berserah kepada keinginan untuk membalas dendam, seperti yang dilakukan oleh petani tadi, atau menentang hasrat itu seperti Daud? Adakah kita akan memilih kebenaran daripada membalas dendam?