Saya menundukkan kepala dan bergegas masuk ke sebuah bilik sebelum dia melihat saya. Saya berasa malu kerana perlu bersembunyi, tetapi saya tidak mahu berhadapan dengannya pada saat itu atau sampai bila-bila. Sudah lama saya ingin memarahinya supaya dia menyedari kesalahannya. Walaupun saya tidak senang dengan tingkah lakunya pada masa lalu, tetapi mungkin perbuatan saya yang membuat dia lebih marah!

Orang Yahudi dan Samaria juga saling membenci. Sebagai bangsa berdarah campuran dan menyembah tuhan-tuhan mereka sendiri—di mata orang Yahudi—orang Samaria telah merosakkan garis keturunan dan iman orang Yahudi serta berkata bahawa mereka hanya boleh menyembah Tuhan di Gunung Gerizim (Yohanes 4:20). Sebenarnya, orang Yahudi sangat membenci orang Samaria sehingga mereka sanggup berjalan jarak jauh daripada mengambil jalan yang lebih dekat melalui negara orang Samaria.

Yesus menunjukkan jalan yang lebih baik. Dia membawa keselamatan bagi semua orang termasuk orang Samaria. Oleh itu, Dia menjelajah ke Samaria untuk membawa air hidup kepada seorang wanita yang berdosa serta seluruh penduduk di kotanya (ayat 4-42). Kata-kata terakhir-Nya kepada para pengikut, adalah agar mereka mengikuti teladan-Nya. Mereka mesti menyampaikan berita baik-Nya kepada semua orang, bermula dari Yerusalem, Samaria dan sehingga ke “hujung bumi” (Kisah Rasul-Rasul 1:8). Samaria bukan sekadar tempat misi yang sangat mencabar serta menyakitkan, para pengikut harus mengatasi prejudis untuk mengasihi orang yang tidak disukai mereka.

Adakah Yesus lebih penting berbanding ketidakpuasan hati kita? Hanya ada satu cara untuk memastikannya: kasihilah “orang Samaria” di sekitar anda.