Kami telah mengembara jauh ke dalam hutan dan semakin menjauhi perkampungan di wilayah Yunnan, China. Selepas sejam dalam perjalanan, kami mendengar deruan air yang sangat kuat. Kami segera bergerak dan akhirnya sampai di satu kawasan yang lapang dengan pemandangan yang sangat indah. Air terjun yang jernih melata mengalir dari atas batu-batu yang berwarna kelabu. Sungguh menakjubkan!
Rakan seperjalanan kami yang menetap di kampung itu, tempat yang kami bertolak sejam sebelumnya, memutuskan bahawa kami harus berkelah. Itu idea yang baik, tetapi masalahnya ialah makanan. Kami tidak membawa apa-apa bekalan makanan. Kemudian rakan-rakan saya yang lain berjalan di sekitar hutan dan kembali dengan pelbagai jenis buah-buahan, sayur-sayuran serta beberapa ekor ikan. Sejenis tumbuhan disebut Shui Xiang Cai yang kelihatan pelik dengan bunga ungu kecilnya, sangat sedap rasanya!
Hal ini mengingatkan saya bahawa penyediaan Tuhan yang luar biasa dinyatakan dalam alam semesta ini. Kita dapat melihat bukti kemurahan-Nya dalam “segala jenis tumbuh-tumbuhan” (Kejadian 1:12). Tuhan telah menciptakan dan memberi kita makanan daripada “segala jenis tumbuh-tumbuhan yang menghasilkan biji-bijian dan buah-buahan” (ayat 29).
Adakah anda kadangkala sukar mempercayai Tuhan akan memenuhi keperluan anda? Lihatlah dan perhatikan alam semula jadi. Biarlah apa yang anda lihat mengingatkan anda tentang kata-kata Yesus yang meyakinkan: “Jangan khuatir tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu minum … Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan [semua perkara ini]” (Matius 6:31–32).