Ada dua wanita duduk sebaris di kedua-dua belah tempat duduk tepi laluan dalam pesawat. Dalam penerbangan selama 2 jam ini, interaksi mereka menarik perhatian saya. Kelihatannya mereka saling mengenal, bahkan mereka mungkin adalah ahli keluarga. Wanita yang lebih muda (mungkin berusia 60-an) kerap mencapai begnya untuk memberikan kepingan epal segar kepada wanita yang lebih tua (saya rasa dia berusia 90-an). Kemudian dia memberikan sandwic buatan sendiri serta tuala kecil, dan yang terakhir, dia memberikan beberapa helaian akhbar New York Times. Dia memberikan benda-benda itu dengan lembut dan sopan. Ketika kami berdiri untuk keluar dari pesawat, saya berkata kepada wanita yang lebih muda itu, “Aku perhatikan cara kamu menjaganya sangat baik.” Dia menjawab, “Dia kawan baikku. Dia ibuku.”
Alangkah lebih baik jika kita dapat mengatakan sesuatu seperti itu? Sesetengah ibu bapa seperti kawan baik. Namun sebilangan ibu bapa juga tidak sedemikian. Pada hakikatnya, hubungan kekeluargaan agak rumit. Surat Paulus kepada Timotius tidak mengabaikan masalah hubungan kekeluargaan. Dia meminta kita “menjalankan kewajipan agama” dengan menjaga ibu bapa dan datuk nenek kita, iaitu “sanak saudaranya”, “anggota keluarganya sendiri” (1 Timotius 5:4, 8).
Kita sering melakukan hal demikian hanya jika ahli keluarga memperlakukan kita dengan baik. Dengan kata lain, hanya mereka yang kita anggap layak mendapatkan perhatian kita. Tetapi Paulus memberikan alasan yang lebih indah untuk membalas jasa mereka. Kita harus menjaga mereka kerana “perbuatan ini menyenangkan hati Allah” (ayat 4).