Suami dan anak saya melayari beberapa saluran televisyen untuk menonton filem, kemudian mereka mendapati bahawa filem-filem kegemaran mereka sedang ditayangkan pada masa yang sama. Oleh sebab mereka suka menonton adegan terakhir, pencarian antara babak-babak tersebut menjadi satu permainan. Mereka berjaya menemukan 8 adegan kegemaran mereka. Dengan kecewa, saya bertanya mengapa mereka tidak memilih sebuah filem untuk ditonton dari awal. Suami saya ketawa. “Semua orang suka pengakhiran yang hebat, bukan?”
Saya mengakui bahawa saya juga menanti-nantikan pengakhiran buku atau filem kegemaran saya. Saya bahkan membaca Alkitab dan menumpukan perhatian pada bahagian kegemaran saya atau kisah-kisah yang kelihatan lebih menarik dan mudah difahami. Tetapi Roh Kudus memakai semua perkataan Tuhan yang boleh dipercayai dan dapat digunakan untuk mengubah kita, serta menegaskan bahawa kisah-Nya akan berakhir dengan baik bagi orang yang percaya kepada Yesus.
Kristus menyatakan diri-Nya sebagai “yang pertama dan yang terakhir, yang awal dan yang penghujung; Akulah Tuhan dari permulaan sampai penghabisan” (Wahyu 22:13). Dia mengisytiharkan bahawa umat-Nya akan mewarisi kehidupan kekal (ayat 14) dan memberi amaran kepada mereka yang berani menambahkan atau mengurangkan “kata-kata nubuat di dalam kitab ini” (ayat 18-19).
Kita mungkin tidak mengetahui atau memahami semua yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi kita tahu bahawa Yesus akan datang kembali. Dia akan menepati firman-Nya. Dia akan menghancurkan dosa, membetulkan segala yang salah, membuat semuanya baharu dan memerintah sebagai Raja yang penuh kasih selamanya. Itulah, pengakhiran yang hebat, yang membawa kita kepada permulaan yang baru!