Ketika seorang ahli keluarga saya yang mengalami alahan makanan yang teruk mula beransur pulih setelah menerima rawatan perubatan, saya menjadi sangat teruja sehingga saya bercakap tentang hal ini sepanjang masa. Saya menggambarkan proses rawatan yang memerlukan usaha gigih dan memuji doktor yang telah mewujudkan program ini. Akhirnya, beberapa rakan memberi komen, “Kami fikir Tuhanlah yang harus dipuji untuk penyembuhan ini.” Pernyataan mereka membuat saya tergamam untuk seketika. Adakah saya telah mengalihkan pandangan saya daripada Penyembuh Agung kita dan mengagung-agungkan penyembuhan itu?

Bangsa Israel jatuh ke dalam perangkap yang serupa ketika mereka mulai membakar kemenyan untuk menyembah ular gangsa yang sebenarnya dipakai Tuhan demi menyembuhkan mereka. Mereka terus melakukannya sehingga Hizkia menyedari tindakan ini ialah penyembahan berhala dan mengambil tindakan dengan “menghancurkan ular gangsa yang dibuat oleh Musa dahulu” (2 Raja-Raja 18:4).

Beberapa abad sebelumnya, ular-ular berbisa telah menyerang umat Israel. Ular-ular itu mematuk mereka dan ramai yang mati (Bilangan 21:6). Walaupun masalah itu berpunca daripada pemberontakan rohani dalam diri mereka, mereka tetap berseru kepada Tuhan untuk meminta pertolongan. Kerana belas kasihan-Nya, Tuhan memerintahkan Musa membuat dan memasang ular gangsa pada sebatang tiang agar dapat dilihat oleh semua orang. Ketika orang memandang ular gangsa, mereka disembuhkan (ayat 4-9).

Fikirkan berkat-berkat Tuhan dalam hidup anda. Adakah anda mengagung-agungkan semua ini sehingga melupakan bahawa semua berkat ini ialah bukti belas kasihan serta kebaikan Tuhan? Hanya Tuhan kita yang kudus—sumber bagi setiap pemberian yang baik (Yakobus 1:17)—layak disembah.