Roma pada zaman kuno mempunyai versi “Injil” tersendiri, iaitu Berita Baik. Menurut seorang penyair bernama Virgil, dia mengatakan bahawa Zeus, dewa yang terutama telah menetapkan Roma sebagai sebuah kerajaan yang tiada pengakhiran atau batasan. Para dewa telah memilih Maharaja Augustus sebagai anak dewa dan penyelamat dunia yang membawa keamanan dan kemakmuran pada zaman kegemilangannya.
Akan tetapi ini bukanlah konsep berita baik bagi semua orang. Bagi ramai orang, ini merupakan kenyataan yang tidak diingini kerana mereka berada di bawah ancaman tentera dan algojo. Kegemilangan empayar tersebut dibina melalui perhambaan orang-orang yang berkhidmat tanpa identiti diri atau harta yang sah demi kepentingan pemerintah mereka.
Namun inilah keadaan sekeliling Paulus apabila dia memperkenalkan dirinya sebagai hamba Kristus Yesus (Roma 1:1). Yesus—nama yang dahulunya dibenci oleh Paulus. Sekarang dia pula mengatakan bahawa Yesus sendiri telah menderita kerana Dia mengakui diri-Nya sebagai raja orang Yahudi dan Penyelamat dunia.
Inilah Berita Baik yang dijelaskan oleh Paulus seterusnya dalam suratnya kepada jemaah di Roma. Berita Baik ini adalah “kuasa Allah yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus” (ayat 16). Oh, inilah berita yang sangat diperlukan oleh mereka yang hidup menderita di bawah pemerintahan Kaisar! Inilah berita tentang Penyelamat yang disalibkan dan dibangkitkan, Tuhan yang menaklukkan musuh-musuh-Nya dengan menunjukkan betapa Dia mengasihi mereka.