Tidak lama setelah Dwight Moody (1837–99) percaya kepada Kristus, penginjil ini memutuskan untuk berkongsi Berita Baik tentang Tuhan Yesus kepada sekurang-kurangnya satu orang setiap hari. Pada hari-harinya yang sibuk, dia kadangkala terlupa tentang azamnya sehingga larut malam. Suatu malam, dia berbaring di atas katil dan tiba-tiba teringat akan azamnya. Dia pun melangkah keluar rumah, Tiada orang akan keluar waktu hujan lebat ini, fikirnya. Kemudian dia melihat seorang lelaki sedang berjalan di jalan raya. Moody bergegas mendapatkan lelaki itu dan memintanya berdiri di bawah payungnya untuk mengelakkan hujan. Pada saat pelawaannya diterima, dia bertanya, “Adakah kamu mempunyai tempat berteduh semasa hujan ribut melanda hidup kamu? Bolehkah aku memberitahu kamu tentang Yesus?”
Moody menjadi teladan kerana dia selalu bersedia untuk berkongsi bagaimana Tuhan telah menyelamatkan kita daripada dosa kita. Dia mentaati perintah Tuhan yang diberikan kepada bangsa Israel untuk memberitakan nama-Nya dan “khabarkanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa” (Yesaya 12:4). Umat Tuhan bukan sahaja dipanggil untuk memberitahu kebesaran-Nya (ayat 4), tetapi mereka juga harus menceritakan bagaimana Dia telah menjadi “Penyelamat [mereka]” (ayat 2). Berabad-abad kemudian, panggilan kita tetap sama, yakni memberitakan keajaiban Tuhan Yesus yang dilahirkan dalam rupa bentuk manusia, mati di kayu salib, dan bangkit semula.
Mungkin kita mendengar tentang kasih Tuhan kerana seseorang telah meninggalkan keselesaan mereka demi memberitakan Yesus kepada kita, seperti dilakukan oleh Moody. Dengan cara kita sendiri, kita juga dapat berkongsi dengan orang lain tentang Yesus yang menjadi Penyelamat kita.