Saya mengenali seorang penternak yang tinggal berhampiran Lometa, Texas. Kedua-dua cucu lelakinya merupakan kawan baik saya. Kami selalu mengikutnya semasa dia pergi ke bandar untuk membeli barang dan berbual dengan kawan-kawannya. Dia tahu nama dan kisah hidup mereka. Dia akan singgah di beberapa tempat dan bertanya khabar tentang seorang anak kawan yang sakit atau seseorang yang mempunyai masalah perkahwinan, lalu memberi dorongan kepada mereka. Dia akan membacakan Alkitab dan berdoa untuk seseorang jika perlu. Saya tidak akan melupakan datuk ini. Dia seorang yang istimewa. Dia tidak memaksa sesiapa pun untuk menerima kepercayaannya, tetapi jelasnya dia telah meninggalkan kesaksian imannya kepada mereka.
Datuk kawan baik saya memiliki ciri yang disebutkan oleh Paulus, sebagai “bau harum Kristus“ (2 Korintus 2:15). Tuhan memakai dia “agar berita tentang Kristus tersebar seperti bau yang harum semerbak” (ayat 14). Meskipun dia telah kembali ke pangkuan Tuhan, bau harumnya masih terhidu di Lometa.
C. S. Lewis menulis, “Tidak ada orang biasa. Anda tidak pernah bercakap dengan manusia biasa.” Dengan kata lain, setiap manusia sanggup meninggalkan pengaruh yang kekal. Setiap hari kita mempunyai peluang untuk membawa perubahan dalam kehidupan orang-orang di sekitar kita melalui kesaksian hidup dengan sikap yang setia dan lemah lembut, atau mengucapkan kata-kata dorongan kepada jiwa yang lelah. Jangan sekali-kali meremehkan pengaruh hidup yang menyerupai Kristus kepada orang lain.
Apakah pendapat anda mengenai pernyataan, “Tiada pengaruh neutral”? Apakah perubahan yang dapat berlaku melalui hubungan dan interaksi anda dengan setiap kenalan sepanjang hari?
Roh Kudus, penuhilah aku dengan kasih, kebaikan dan sikap lemah lembut ketika bergaul dengan orang lain.
Dalam surat-suratnya, Paulus sering menggunakan metafora ketenteraan untuk menggambarkan kebenaran rohani. Dia menulis tentang peperangan rohani dan senjata yang diperlukan untuk mendapat kemenangan (2 Korintus 10:3-5; Efesus 6:10-18). Dia menyebut rakan-rakan sekerjanya dengan istilah ketenteraan: “teman seperjuanganku” (Filipi 2:25, TB); “askar Kristus Yesus yang setia” (2 Timotius 2:3). Dalam 1 Timotius 1:18, dia mendorong Timotius untuk “memperjuangkan perjuangan yang baik.” Dalam 2 Korintus 2:14-17, Paulus menggambarkan bahawa panglima perang Roma yang menang mempamerkan tawanan dan jarahan perang dalam perarakan kemenangan di seluruh kota. Paulus menerapkan gambaran ini pada dirinya dalam 1 Korintus 4:9. Dalam Kolose, dia memakai metafora kemenangan ini untuk menggambarkan Kristus sebagai pemenang atas dosa dan Iblis: “[Kristus] telah membatalkan surat hutang kita yang mengancam kita dengan syarat-syarat berat. Dia menghapuskan semuanya dengan menyalibkan surat hutang itu di kayu salib. Di kayu salib itu Kristus membebaskan diri daripada kuasa roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah. Dia menjadikan mereka tontonan umum apabila Dia menggiring mereka sebagai tawanan dalam perarakan kemenangan-Nya” (2:14-15).
Sim Kay Tee (Penulis Tamu)