Mula-mula saya rasa gatal di tekak. Alamak, fikir saya. Gatal di tekak itu kemudian menjadi influenza (demam selesema). Namun penderitaan saya baru bermula, kerana influenza itu bertukar menjadi batuk kering dan akhirnya menjadi pneumonia (radang paru-paru).

Selama 8 minggu saya mengalami batuk yang melelahkan. Batuk kering itu membuat saya berasa diri seperti orang tua. Tetapi saya “cukup tua” untuk mula memikirkan hal itu. Seorang ahli kelompok sel gereja saya menggunakan satu perkataan yang lucu untuk menghuraikan masalah kesihatan yang menyerang apabila kita semakin tua: “Si Rosot.” Tetapi apabila Si Rosot “bertindak”, ini bukan lagi hal yang lucu.

Dalam 2 Korintus 4, Paulus juga menulis dengan caranya sendiri tentang “Si Rosot”. Fasal itu mencatatkan setiap penganiayaan yang ditanggung oleh Paulus dan pasukannya. Di sebalik misinya itu ada kesannya. Dia mengakui, “Tubuh kami ini menjadi reput.” Biarpun tubuhnya merosot ditelan usia, dan mengalami penganiayaan serta keadaan yang sukar, Paulus tetap berpegang kepada harapan yang menyokongnya: “batin kami dibaharui setiap hari” (ayat 16). Tegasnya: “Kesusahan yang kami alami ini hanya untuk sementara dan tidak seberapa banyak”, ini tidak dapat dibandingkan dengan apa yang bakal datang: “kemuliaan yang luar biasa dan kekal” (ayat 17).

Walaupun semasa saya menulis pada malam ini, kemerosotan tubuh fizikal akibat pneumonia masih terasa di dada saya. Tetapi saya tahu bahawa ia tidak akan menguasai hidup saya dan semua orang yang berpegang teguh kepada Kristus.