Kesakitan yang teruk dan sakit kepala telah menghalang saya menghadiri gereja … sekali lagi. Walaupun saya sedih kerana tidak dapat berkumpul dengan jemaah, saya masih menonton khutbah di Internet. Pada mulanya saya terganggu oleh bunyi dan kualiti rakaman video yang kurang baik. Tetapi kemudian kedengaran sebuah lagu pujian yang merdu dan diketahui ramai di video. Air mata saya mengalir ketika menyanyikan lirik lagu “Kaulah, ya Tuhan, Suria hidupku” (Be Thou My Vision) ini: “Kaulah, ya Tuhan, Suria hidupku; asal Kau ada, yang lain tak perlu. Siang dan malam Engkau kukenang; di hadirat-Mu jiwaku tenang!” Sambil merenungkan hadirat Tuhan yang selalu ada, saya duduk di ruang tamu dan menyembah Dia.

Walaupun firman Tuhan menegaskan kepentingan untuk menyembah Tuhan secara berkumpul (Ibrani 10:25), Tuhan tidak dibatasi oleh dinding bangunan gereja. Semasa Yesus bercakap dengan perempuan Samaria di perigi, Dia mengubah segala tanggapannya tentang Mesias (Yohanes 4:9). Yesus bukannya menghukum dia, tetapi mengatakan kebenaran dan mengasihi perempuan itu apabila berdiri di tepi perigi (ayat 10). Dia mengenal setiap anak-Nya secara peribadi (ayat 17-18). Yesus mengisytiharkan keilahian-Nya dan berkata bahawa penyembahan sejati akan lahir dari hati umat-Nya dengan kuasa Roh Kudus, bukan berdasarkan lokasi fizikal yang khusus (ayat 23-24).

Ketika kita berfokus kepada Tuhan, perbuatan dan janji-Nya, kita dapat bersukacita dalam hadirat-Nya yang kekal sambil menyembah Dia bersama dengan orang percaya yang lain, di ruang tamu … dan di mana-mana sahaja!