Semasa bermain bola keranjang dengan rakan-rakan perempuannya, Amber menyedari bahawa liga bola keranjang perempuan boleh membawa sumbangan kepada masyarakatnya. Oleh itu, dia menubuhkan Ladies Who Hoop, sebuah organisasi amal yang memupuk semangat berpasukan dan meninggalkan kesan yang baik kepada generasi akan datang. Ketua kumpulan organisasi ini berusaha untuk membina keyakinan dan karakter di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan serta mendorong mereka menjadi penyumbang kepada komuniti mereka. Salah seorang pemain asal yang kini menjadi mentor kepada gadis-gadis lain berkata, “Semangat keakraban terserlah di kalangan kami, dan inilah sesuatu yang aku inginkan sekali. Kami saling menyokong dalam pelbagai aspek. Aku gembira untuk melihat gadis-gadis bertumbuh dan berjaya dalam hidup mereka.”
Tuhan menghendaki umat-Nya saling menolong. Rasul Paulus mendorong jemaah di Tesalonika “saling menggalakkan dan saling menguatkan” (1 Tesalonika 5:11). Tuhan menempatkan kita dalam keluarga-Nya agar kita mendapat sokongan dalam hidup kita. Kita memerlukan sesama untuk menjalani hidup ini bersama dengan Kristus. Ada kalanya itu mungkin bermaksud kita menjadi pendengar bagi keluhan seseorang yang sedang bergelut dengan suatu masalah hidup, memberikan keperluan praktikal, atau memberi kata-kata dorongan. Kita dapat meraikan kejayaan, menaikkan doa untuk kekuatan dalam kesukaran, atau saling mencabar untuk bertumbuh dalam iman. Dalam segala sesuatu, kita “harus sentiasa berusaha untuk saling berbuat baik dan menolong semua orang” (ayat 15).
Kita dapat menikmati semangat keakraban apabila kita dan orang beriman yang lain saling menyokong untuk terus mempercayai Tuhan!
ILHAM
Ketika Paulus menggesa pembacanya untuk saling memberikan galakan (1 Tesalonika 5:11), dia menggunakan satu perkataan Yunani (parakaleo) yang juga bermaksud menghiburkan. Perkataan “Penolong” (yang merujuk kepada Roh Kudus) dalam Yohanes 14:16, 26 dan 16:7 juga berasal daripada kata dasar ini yang sama.Paulus menggunakan suratnya untuk menggesa orang yang percaya kepada Yesus supaya dapat hidup bersama-sama dalam Roh Kristus yang telah mati demi mereka (1 Tesalonika 5:10). Namun, Paulus bukan sekadar memberi pesanan sahaja; dia juga menunjukkan betapa dia mempedulikan mereka. Dia memuji dan memberitahu mereka bahawa dia telah menerima galakan besar daripada mereka (1:2-10). Seterusnya, seperti seorang kanak-kanak yang lemah lembut, dia merendahkan diri dalam kalangan mereka (2:6-7) dan mengingatkan mereka cara dia menjaga mereka seperti seorang ibu (ayat 7-10), dan dia juga menjaga mereka seperti seorang bapa yang menghiburkan dan menggalakkan anak-anaknya (ayat 11-12).