Semasa seorang askar Perancis menggali pasir gurun untuk memperkukuh pertahanan tenteranya, dia tidak menyangka bahawa dia akan membuat penemuan penting. Ketika menyodok pasir, dia menemukan sebiji batu. Ia bukan batu biasa tetapi Batu Rosetta yang mengandungi undang-undang dan pentadbiran Raja Ptolemy ke-5, yang tertulis dalam 3 bahasa. Batu itu (sekarang tersimpan di Muzium British) telah menjadi salah satu penemuan arkeologi terpenting pada abad ke-19 dan menyingkapkan misteri tentang tulisan kuno Mesir yang dikenali sebagai hiroglif.
Bagi kebanyakan kita, firman Tuhan juga tersalut dengan banyak misteri yang dalam. Namun pada malam sebelum penyaliban, Yesus berjanji kepada para pengikut-Nya bahawa Dia akan mengutus Roh Kudus. Dia memberitahu mereka, “Tetapi apabila Roh yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah itu datang, Roh akan membimbing kamu supaya mengetahui segala kebenaran itu. Roh tidak akan mengatakan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan mengatakan apa yang didengar-Nya dan memberitahu kamu perkara-perkara yang akan berlaku” (Yohanes 16:13). Dari satu perspektif, Roh Kudus ibarat Batu Rosetta Ilahi bagi kita, mengilhami kita tentang kebenaran di sebalik misteri Alkitab.
Walaupun kita tidak dijanjikan pengertian sepenuhnya tentang semua yang terkandung dalam Alkitab, kita boleh yakin bahawa dengan bantuan Roh Kudus, kita boleh memahami segala yang perlu untuk mengikut Yesus. Dia akan membimbing kita mengerti semua kebenaran yang penting.