Pada bulan Februari 2020, ketika krisis Covid-19 mula tercetus, keratan akhbar seorang penulis telah menyentuh hati saya. Dia tertanya-tanya, adakah kita bersedia mengasingkan diri serta bersedia untuk mengubah kebiasaan dalam pekerjaan, pelancongan dan tabiat membeli-belah supaya orang lain tidak jatuh sakit? “Waktu ini bukan sahaja menguji kecukupan sumber perubatan, malahan juga kesediaan kita untuk berkorban demi orang lain,” tulisnya. Tiba-tiba, keperluan untuk saling menunjukkan kebaikan menjadi isu yang paling diperhatikan.
Mungkin sukar untuk mempertimbangkan keperluan orang lain sedangkan kita sendiri cemas tentang keperluan kita. Kita bersyukur kerana kita tidak perlu memenuhi keperluan tersebut berdasarkan keazaman sendiri. Kita boleh meminta Roh Kudus memberi kita kasih untuk menggantikan sikap dingin, sukacita untuk melawan kesedihan, damai sejahtera untuk menggantikan kegelisahan, kesabaran untuk menolak sikap impulsif, kemurahan untuk menjaga orang lain, kebaikan untuk memenuhi keperluan mereka, kesetiaan untuk menepati janji, kelemahlembutan dan bukannya kekerasan, serta penguasaan diri untuk melawan keegoan (Galatia 5:22-23, TB). Walaupun kita tidak sempurna dalam semua perkara ini, kita diseru untuk memohon kepada Roh Kudus agar selalu menghasilkan buah sifat-sifat ini (Efesus 5:18).
Penulis Richard Foster pernah menghuraikan kekudusan sebagai kemampuan untuk melakukan apa yang perlu dilakukan ketika ia perlu. Kekudusan seperti ini perlu diamalkan setiap hari dan bukan hanya pada waktu pandemik. Adakah kita memiliki keupayaan untuk berkorban demi orang lain? Roh Kudus akan memberi kita kuasa untuk melakukan apa yang perlu.
ILHAM
Kitab Galatia telah dikenal sebagai penulisan yang “pendek dan berapi-api”. Nada dan kata-kata Paulus adalah sesuai apabila dia menonjolkan kesalahan besar yang dilakukan orang yang percaya kepada Yesus di Galatia (satu kawasan di Asia Kecil yang Paulus telah berkhutbah dan menubuhkan gereja-gereja). Apakah yang perlu dibetulkan? Guru palsu telah menyampaikan Injil yang sesat, iaitu berpegang teguh pada Hukum Taurat Musa untuk mendapat pengampunan bagi dosa mereka selain kepercayaan kepada Yesus.Kita bukan sahaja sudah dibenarkan—berbaik semula dengan Tuhan—dengan hanya percaya kepada Kristus (Galatia 2:15-21), namun orang yang percaya kepada Kristus akan semakin menyerupai-Nya (pengudusan) dengan kaedah yang sama—melalui kepercayaan dan bukan dengan mematuhi Hukum Taurat (Galatia 5:1-11). Melalui Roh Tuhan, orang yang percaya telah diberi kuasa untuk menjalani kehidupan yang salih, termasuklah mengasihi sesama sebagaimana seseorang mengasihi sendiri (Galatia 5:13-26).