Pandemik mengakibatkan sekolah ditutup di seluruh dunia. Di China, guru-guru melakukan tugas mereka dengan menggunakan DingTalk, iaitu aplikasi digital yang membolehkan kelas diadakan dalam talian. Kemudian para pelajar mendapati bahawa jika rating DingTalk menurun terlalu rendah, mungkin ia akan dikeluarkan daripada Stor Aplikasi. Jadi pada satu malam, ribuan pelajar memberikan rating satu bintang dan skor DingTalk jatuh dengan mendadak.

Yesus tidak kagum akan sikap para pelajar yang menolak tanggungjawab mereka, tetapi Dia mungkin akan memuji kepintaran mereka. Yesus menceritakan sebuah kisah yang unik tentang pengurus yang dipecat. Pada hari terakhir dia bekerja, dia mengurangkan semua bil penghutang majikannya. Yesus bukan memuji pengurus yang tidak jujur itu. Sebaliknya Dia memuji kepandaiannya dan berharap para pengikut-Nya juga menjadi cerdik: “Gunakanlah kekayaan dunia ini untuk mendapat sahabat, supaya apabila kekayaan dunia ini lenyap, kamu akan disambut ke dalam tempat kediaman yang abadi” (Lukas 16:9).

Ketika menyebut tentang wang, kebanyakan orang akan berfikir tentang jumlah kerugian yang mungkin ditanggung mereka. Orang bijak pula berfikir tentang apa yang boleh diperoleh mereka. Yesus berkata bahawa melalui tindakan memberi, kita akan ‘mendapat sahabat’, yang akan memberikan perlindungan dan pengaruh. Siapakah pemimpin dalam mana-mana kumpulan? Orang yang membayar wang. Tindakan memberi juga akan membawa kita ke ‘tempat kediaman yang abadi’, kerana kerelaan kita untuk berpisah dengan wang menunjukkan kepercayaan kita kepada Yesus.

Walaupun kita tidak memiliki wang, kita masih mempunyai masa, kemahiran, atau telinga untuk mendengarkan orang. Marilah kita memohon kepada Tuhan untuk menunjukkan bagaimana kita dapat melayani orang lain secara kreatif demi Yesus.