“Jangan bercakap, jangan percaya dan jangan berasa, merupakan hukum yang kita dukung,” kata Frederick Buechner dalam biografinya yang sangat berpengaruh, Telling Secrets (Menceritakan Rahsia), “dan celakalah mereka yang melanggar perintah itu.” Buechner sedang menghuraikan pengalamannya tentang apa yang disebutnya sebagai “hukum tidak bertulis yang diamalkan oleh keluarga apabila sesuatu yang buruk telah berlaku.” Dalam keluarganya sendiri, “hukum” itu bermaksud, Buechner tidak dibenarkan bercakap atau meratapi bapanya yang telah membunuh diri sehingga tiada seorang pun yang boleh mendengar luahan kesakitannya.
Bolehkah anda memahaminya? Kebanyakan kita telah belajar untuk hidup dengan kasih yang rosak, kasih yang membuat kita menyembunyikan kebenaran atau mendiamkan diri tentang hal yang telah melukai kita. “Kasih” sedemikian menguasai kita dengan ketakutan—dan merupakan sejenis perhambaan.
Kita mesti mengingati betapa bezanya jemputan Yesus untuk kita mengalami kasih-Nya, berbanding dengan kasih bersyarat yang sering kita alami—jenis kasih yang selalu kita khuatir akan hilang. Seperti yang dijelaskan Paulus, melalui kasih Kristus, akhirnya kita dapat memahami maksud hidup tanpa ketakutan (Roma 8:15) dan mula memahami kebebasan yang mulia (ayat 21), sesuatu yang hanya boleh kita alami apabila kita tahu bahawa kita dikasihi dengan kasih yang sangat dalam, nyata dan tanpa syarat. Kita bebas untuk bercakap, percaya dan sekali lagi belajar erti hidup tanpa ketakutan.