Kali pertama saya membawa anak-anak lelaki saya mendaki sebuah gunung di Colorado Fourteener—ketinggian sekurang-kurangnya 4267 meter—mereka agak gementar. Adakah mereka akan berjaya sampai ke puncak gunung? Adakah mereka siap menghadapi cabaran? Anak bongsu saya berhenti dalam perjalanan untuk berehat panjang. “Bapa, aku tidak dapat teruskan lagi,” katanya berulang kali. Tetapi saya yakin ujian ini baik untuk mereka dan mahu agar mereka mempercayai saya. Dengan hanya tinggal 1.6 km untuk sampai ke puncak, anak saya yang bertegas tidak dapat meneruskan perjalanan itu tiba-tiba mendapat tenaga baharu, bahkan mendahului kami ke puncak. Dia sangat gembira kerana mempercayai saya walaupun dia berasa takut pada mulanya.
Saya mengagumi kepercayaan Ishak terhadap bapanya ketika mereka naik ke gunung. Namun saya lagi kagum akan iman yang dimiliki Abraham kepada Tuhan sewaktu dia mengambil sebilah pisau untuk mempersembahkan anaknya sebagai korban (Kejadian 22:10). Meskipun dengan hati yang keliru dan sakit, Abraham tetap taat. Dengan penuh belas kasihan, malaikat Tuhan menghentikannya. “Jangan sakiti anak itu” kata malaikat Tuhan (ayat 12). Tuhan tidak pernah merancang supaya Ishak mati.
Apabila kita membuat perbandingan antara kisah unik ini dengan kisah kita sendiri, kita perlu berhati-hati dan memperhatikan ayat pendahuluan: “Allah menguji kesetiaan Abraham” (ayat 1). Melalui ujian ini, Abraham diperkuat dalam imannya terhadap Tuhan. Dia telah menemui hati Tuhan yang penuh kasih dan peruntukan-Nya yang luar biasa.
Dalam kekeliruan, kegelapan dan ujian hidup, kita dapat lebih mengenal diri kita yang sebenar dan Tuhan, malah membina keyakinan yang lebih dalam kepada-Nya.