Collin dan isterinya, Jordan sedang mencari hiasan untuk digantung pada dinding rumah mereka. Collin yakin dia telah menemukan sesuatu yang sesuai dan memanggil Jordan untuk melihatnya. Di bahagian kanan karya seni seramik itu tertulis perkataan rahmat. Tetapi di bahagian kirinya ada dua retakan yang panjang. “Benda ini sudah rosak!” kata Jordan sambil mencari seni seramik lain yang masih elok di rak yang sama. Kemudian Collin berkata, “Tidak. Inilah yang terbaik. Hidup kita telah hancur tetapi rahmat datang pada masa yang tepat.” Mereka memutuskan untuk membeli seramik yang retak itu. Ketika mereka sampai di kaunter pembayaran, pekerja di situ berkata, “Oh, ini sudah rosak!” “Ya, begitu juga dengan kita,” bisik Jordan.

Apakah maksudnya orang yang mengalami kehancuran? Seseorang mendefinisikannya seperti ini: Orang yang sedar bahawa tidak kira betapa sungguh-sungguhnya kita mencuba, usaha kita untuk hidup berjaya adalah sia-sia belaka, malah hidup menjadi lebih teruk. Ini merupakan pengakuan bahawa kita memerlukan Tuhan dan campur tangan-Nya dalam hidup kita.

Rasul Paulus berbicara tentang hidup kita yang hancur dan keadaan “mati secara rohani, kerana [kita] tidak taat kepada perintah Allah dan [kita] berdosa” (Efesus 2:1). Jawapan Tuhan tentang keperluan kita untuk diampuni dan diubah ada dalam ayat 4 dan 5: “Allah sangat berbelas kasihan dan Dia sangat mengasihi kita … Dia menghidupkan kita semula bersama-sama Kristus. [Kita] sudah diselamatkan oleh rahmat Allah.”

Tuhan mahu memulihkan kita dengan rahmat-Nya apabila kita mengakui, “Hidupku hancur.”