Baru-baru ini saya terjumpa beberapa buah diari lama saya sewaktu di universiti, maka saya terus mengambil masa untuk membacanya semula. Ketika saya membaca catatan diari itu, saya menyedari keadaan saya pada waktu itu amat berbeza dengan masa sekarang. Pergelutan kerana kesunyian dan keraguan terhadap iman telah melumpuhkan keyakinan saya pada masa itu. Namun apabila saya mengimbas kembali, saya dapat melihat pimpinan dan penyembuhan Tuhan dengan jelas. Ketika merenungkan bagaimana Tuhan menopang saya melalui saat-saat yang sukar itu, saya diingatkan tentang pegangan tangan-Nya yang lembut, bahawa apa sahaja yang cuba melumpuhkan hidup kita akan berubah menjadi sebahagian kisah penyembuhan Tuhan yang penuh kasih pada suatu hari kelak.
Mazmur 30 adalah lagu pujian yang juga mengimbas kembali pemulihan Tuhan yang berkuasa dengan penuh kekaguman dan kesyukuran: yang sakit menjadi sembuh, yang mati dihidupkan, yang sedih menjadi gembira (ayat 3-4, 12).
Mazmur 30 ialah hasil karya Daud, peribadi yang telah menuliskan kebanyakan ratapan yang penuh kesengsaraan dalam Alkitab. Namun Daud juga mengalami kesembuhan yang begitu luar biasa sehingga dia mampu berkata, “Air mata mungkin mengalir pada waktu malam, tetapi fajar membawa kegembiraan” (ayat 6). Walaupun dia menanggung banyak kesengsaraan, Daud menemukan sesuatu yang jauh lebih besar—kesembuhan Tuhan yang berkuasa.
Jika anda berasa sakit hati pada hari ini dan amat memerlukan dorongan, imbas kembali masa-masa lalu apabila Tuhan menopang anda ke tempat kesembuhan. Mari kita berdoa dan yakin Dia akan berbuat demikian lagi.