Pada tahun 2018, seramai 12 orang budak lelaki Thailand dan jurulatih bola sepak mereka masuk ke sebuah gua yang berselirat untuk menikmati pengembaraan pada waktu petang. Disebabkan air naik secara tiba-tiba dan mendadak dalam gua, mereka terpaksa masuk lebih jauh ke dalam gua. Pasukan penyelamat mengambil masa selama 2 minggu setengah untuk membawa mereka keluar. Walaupun dihalangi air yang semakin naik, pasukan penyelam tetap bergegas dalam operasi menyelamat, sementara budak-budak itu duduk di batuan kecil dengan hanya 6 lampu suluh yang berkelip. Mereka berada dalam kegelapan selama berjam-jam sambil mengharapkan cahaya kecil akan menembusi kegelapan dalam apa cara pun, sehingga mereka diselamatkan.
Nabi Yesaya memberi gambaran tentang dunia yang penuh dengan kegelapan, yang diliputi keganasan dan ketamakan, serta dimusnahkan oleh pemberontakan dan penderitaan (Yesaya 8:22). Apa yang tinggal hanyalah kehancuran; lilin harapan yang berkerlip menjadi semakin malap, berdesis sebelum menyerah kepada kegelapan. Tetapi Yesaya menegaskan bahawa keputusasaan bukanlah penamat hidup kita. Oleh sebab belas kasihan Tuhan, tidak lama lagi “tidak akan ada lagi kesuraman bagi mereka yang dahulu berada dalam kesusahan” (9:1, AVB). Tuhan tidak akan meninggalkan umat-Nya dalam kehancuran. Itulah saatnya nabi mengatakan bahawa umatnya akan memperoleh harapan dan menunjukkan waktu ketika Yesus akan datang untuk melenyapkan kegelapan akibat dosa.
Yesus telah datang. Kini kita mendengar kata-kata Yesaya dengan makna yang diperbaharui: “Orang yang berjalan dalam kegelapan telah melihat cahaya yang sangat terang” kata Yesaya. “Mereka tinggal dalam bayangan segelap maut, tetapi kini mereka disinari cahaya yang terang” (ayat 1).
Tidak kira betapa gelapnya malam, betapa sedihnya keadaan, kita tidak akan ditinggalkan dalam kegelapan. Yesus ada di sini. Dia Cahaya yang bersinar sangat terang.