Saya mula membacakan Alkitab kepada anak-anak lelaki saya ketika anak bongsu saya, Xavier mula menghadiri tadika. Saya akan mencari peristiwa penting dan berkongsi ayat-ayat Alkitab yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan kami, serta mendorong mereka berdoa bersama dengan saya. Xavier dapat terus menghafal ayat Alkitab dengan cepat. Ketika kami berada dalam keadaan sulit dan memerlukan kebijaksanaan, Xavier akan mengeluarkan ayat-ayat yang menerangkan kebenaran Tuhan.
Suatu hari, saya berasa marah dan menengkingnya. Anak saya memeluk saya dan berkata, “Lakukan apa yang mama ajar.”
Peringatan lembut Xavier mengulang nasihat rasul Yakobus yang bijak ketika dia berbicara kepada orang-orang percaya Yahudi yang tersebar di seluruh dunia (Yakobus 1:1). Dengan mengetengahkan pelbagai kelakuan berdosa yang dapat menjejaskan kesaksian bagi Kristus, Yakobus mendorong mereka “terimalah firman yang ditanam-Nya di dalam hati kamu” (ayat 21). Namun jika kita hanya mendengar tetapi tidak mentaati firman Tuhan, kita adalah seperti orang yang melihat diri di depan cermin tetapi melupakan wajah kita (ayat 23-24). Kita boleh kehilangan hak istimewa sebagai pembawa gambaran Tuhan yang telah diperdamaikan dengan Tuhan melalui darah Kristus.
Orang yang percaya kepada Yesus diperintahkan untuk berkongsi Injil. Roh Kudus mengubah kita sambil memberi kuasa kepada kita untuk menjadi wakil Tuhan yang lebih baik dan utusan Injil. Ketaatan kita yang penuh kasih membantu kita memantulkan cahaya kebenaran dan kasih Tuhan di mana sahaja Dia mengutus kita dan membawa orang lain kepada Yesus dengan melakukan apa yang kita ajarkan.