Pada tahun 1929, ketika berlaku kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat, jutaan orang kehilangan segalanya. Tetapi ini tidak terjadi kepada Floyd Odlum. Ketika orang lain panik dan menjual saham-saham mereka dengan harga yang amat rendah, Odlum bertindak cepat dan membeli saham-saham tersebut sementara masa depan negara itu hancur. Tindakan itu kelihatan bodoh. Tetapi perspektif “bodoh” Odlum membuahkan hasil, mendatangkan pelaburan kukuh yang bertahan selama beberapa dekad.

Tuhan menyuruh Yeremia melakukan apa yang kelihatan seperti pelaburan yang tidak masuk akal: “Membeli tanahnya di Anatot, di wilayah Benyamin” (Yeremia 32:7). Namun, ini bukan masa untuk membeli ladang, sedangkan seluruh negeri berada di ambang serangan. “Tentera raja Babilonia sedang menyerang Yerusalem” (ayat 2), dan apa sahaja yang dibeli oleh Yeremia akan menjadi milik Babilonia. Bukankah bodoh membuat pelaburan apabila semuanya akan segera hilang?

Yeremia mendengarkan perintah Tuhan, yang merancang masa depan yang tidak dapat dibayangkan oleh sesiapa pun. “TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman bahawa rumah, tanah, dan ladang anggur akan dibeli lagi di negeri ini” (ayat 15). Tuhan melihat jauh melampaui segala kehancuran. Tuhan berjanji akan membawa penebusan, penyembuhan dan pemulihan. Pelaburan yang tidak masuk akal dalam hubungan atau pelayanan untuk Tuhan bukanlah sesuatu yang bodoh, malah ia mungkin langkah yang paling bijak apabila Tuhan memimpin kita melakukannya (dan sangat penting, kita harus tekun berdoa untuk mengetahui bahawa Dia Perancang di sebalik arahan itu). Jika di bawah pimpinan Tuhan, pelaburan yang “bodoh” di mata orang lain adalah masuk akal di dunia ini.