Carl sedang bergelut dengan penyakit barah dan memerlukan pemindahan dua paru-paru. Dia meminta paru-paru yang baru daripada Tuhan, tetapi berasa pelik untuk berdoa sedemikian. Dia mengakui bahawa doa seperti itu seolah-olah berbunyi “seseorang harus mati supaya aku dapat hidup.”
Dilema Carl menyoroti kebenaran dasar Alkitab: Tuhan menggunakan kematian untuk memberi hidup seperti kisah dalam Keluaran. Sebagai hamba sejak lahir, orang Israel menderita di bawah penindasan orang-orang Mesir. Firaun tidak akan melepaskan cengkamannya sehinggalah Tuhan mengambil tindakan. Setiap anak sulung akan mati kecuali jika keluarga itu menyembelih seekor domba yang tidak bercacat dan menyapukan darahnya di tiang pintu mereka (Keluaran 12:6–7).
Hari ini, anda dan saya dilahirkan dalam belenggu dosa. Iblis tidak akan melepaskan cengkamannya ke atas kita sehinggalah Tuhan mengambil tindakan, dengan mengorbankan Anak-Nya yang tidak berdosa dan darah-Nya tertumpah di kayu salib.
Yesus memanggil kita turut disalibkan bersama dengan Dia. Paulus menjelaskan, “Yang hidup sekarang ini bukanlah aku, tetapi Kristus yang hidup dalam diriku” (Galatia 2:20). Ketika kita menaruh iman kita kepada Anak Domba Tuhan yang tidak bercela, kita berkomitmen untuk mati bersama dengan-Nya setiap hari—membuang hidup lama yang berdosa sehingga kita dapat bangkit bersama-sama Dia untuk menjalani kehidupan baru (Roma 6:4–5). Kita menyatakan iman ini setiap kali kita mengatakan “TIDAK” kepada belenggu dosa dan “YA” kepada kebebasan dalam Kristus. Ketika kita mati bersama dengan Yesus, maka kita dapat benar-benar hidup.