Semasa duduk di bilik mahkamah, saya menyaksikan beberapa contoh kehancuran di dunia ini: hubungan renggang antara seorang anak perempuan dan ibunya; suami isteri yang tidak lagi saling mengasihi dan kini hanya menderita kepahitan; seorang suami yang rindu untuk berdamai dengan isterinya dan hidup bersama dengan anak-anaknya. Mereka sangat memerlukan perubahan hati, agar luka-luka disembuhkan dan kasih Tuhan untuk mengatasi segalanya.

Kadangkala ketika dunia di sekitar kita kelihatan hanya diselubungi oleh kegelapan dan kekecewaan, kita mudah berputus asa. Akan tetapi Roh Tuhan yang tinggal dalam orang yang percaya kepada Kristus (Yohanes 14:17), mengingatkan kita bahawa Yesus telah mati untuk mengatasi kehancuran dan kesakitan itu. Ketika Dia datang ke dunia sebagai manusia, Dia membawa cahaya ke dalam kegelapan (1:4-5; 8:12). Kita melihat kebenaran ini dalam perbualan-Nya dengan Nikodemus, yang datang kepada Yesus secara senyap dan diselubungi kegelapan, tetapi pergi dengan hidupnya diubah sepenuhnya oleh Cahaya (3:1-2; 19:38-40).

Yesus mengajar Nikodemus bahawa “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal” (3:16).

Walaupun Yesus membawa cahaya dan kasih ke dalam dunia, ramai orang masih tersesat dalam kegelapan dosa mereka (ayat 19-20). Jika kita ialah pengikut-Nya, kita memiliki cahaya yang menghapuskan kegelapan. Marilah kita berdoa dan bersyukur kepada Tuhan agar kita memancarkan kasih-Nya (Matius 5:14-16).