Pada 3 April 1968, ribut petir melanda Memphis, Tennessee pada waktu petang. Reverend Dr. Martin Luther King Jr. yang keletihan dan kurang sihat tidak berniat menunaikan rancangannya untuk memberikan ucapan sokongan kepada para pekerja pembersihan yang mogok di dewan gereja. Tetapi dia dikejutkan oleh sebuah panggilan telefon yang meminta dia datang segera kerana ramai orang telah mengharungi cuaca buruk untuk mendengar ucapannya. Oleh itu, dia berangkat ke dewan dan berucap selama 40 minit. Menurut sesetengah orang, itulah ucapannya yang paling hebat, “Aku Pernah ke Puncak Gunung.”

Namun pada keesokan harinya, Reverend King ditembak dan terbunuh. Bagaimanapun ucapannya masih memberi inspirasi dan harapan seperti “Tanah Perjanjian” kepada orang-orang yang tertindas. Para pengikut Yesus pada zaman awal juga didorong oleh mesej yang membangkitkan jiwa. Kitab Ibrani, yang ditulis untuk memberi dorongan kepada jemaah Yahudi yang menghadapi ancaman kerana iman mereka kepada Kristus, menawarkan dorongan rohani yang kuat supaya mereka tidak kehilangan harapan. Ini menggesa mereka , “kuatkanlah tangan yang lemah dan lutut yang gementar!” (12:12). Sebagai orang Yahudi, pasti mereka mengenali bahawa rayuan itu berasal daripada nabi Yesaya (Yesaya 35:3).

Tetapi sekarang, sebagai pengikut-pengikut Kristus, kita dipanggil untuk “tempuh perlumbaan di hadapan kita dengan tekun. Hendaklah pandangan kita tertumpu kepada Yesus, kerana iman kita bergantung kepada-Nya dari permulaan sehingga akhir” (Ibrani 12:1–2). Justeru itu, kita tidak akan “berkecil hati dan putus asa” (ayat 3).

Pastinya badai dan ribut menanti kita dalam kehidupan ini. Tetapi dalam Yesus, kita mengatasinya dengan bertahan dalam Dia.