Anak lelaki saya, Geoff keluar dari sebuah kedai sementara dia terlihat sebuah tongkat berkaki empat dibiarkan di tepi. Harap-harap tiada orang dalam masalah, fikirnya. Dengan segera dia pergi ke belakang bangunan dan mendapati seorang lelaki gelandangan yang tidak sedar diri terlantar di kaki lima.

Geoff menjagakan lelaki itu dan menanyakan keadaannya. “Aku cuba minum arak sampai mati,” jawabnya. “Khemah dan segala milikku dimusnahkan angin ribut. Aku tidak mahu hidup lagi.”

Geoff menghubungi sebuah pusat pemulihan Kristian. Sementara menunggu bantuan, dia bergegas ke rumahnya untuk memberi khemahnya kepada lelaki itu. “Siapa nama kamu?” tanya Geoff. “Geoffrey,” jawab gelandangan itu, “dengan huruf G.” Geoff tidak menyebut namanya sendiri atau ejaannya yang istimewa. Kemudian Geoff berkata kepada saya, “Ayah, nasibku mungkin boleh menjadi seperti lelaki itu.”

Geoff sendiri pernah bergelut dengan penyalahgunaan dadah, dan dia menolong lelaki itu kerana kebaikan yang telah diterimanya daripada Tuhan. Nabi Yesaya pernah bernubuat tentang belas kasihan Tuhan terhadap kita dalam Yesus: “Dahulu kita semua seperti domba yang sesat, masing-masing mengikut jalan sendiri. Tetapi TUHAN menjatuhkan hukuman kepadanya, hukuman yang seharusnya dijatuhkan kepada kita” (Yesaya 53:6).

Kristus, Penyelamat kita, tidak membiarkan kita tersesat, kesunyian dan kehilangan harapan. Dia memilih untuk menjadi manusia dan menyelamatkan kita dengan kasih-Nya, agar kita dibebaskan untuk hidup sebagai manusia baru dalam Dia. Inilah kurnia yang terbesar.