Ketika seorang lelaki ditanya bagaimana dia menjadi wartawan, dia menceritakan kisah ibunya yang penuh dedikasi untuk membantu dia menuntut ilmu. Semasa menaiki kereta api bawah tanah setiap hari, ibunya mengumpulkan akhbar yang ditinggalkan di tempat duduk dan memberikan akhbar itu kepadanya. Walaupun dia sangat gemar membaca tentang sukan, akhbar tersebut juga membuka pengetahuannya kepada dunia, sehingga akhirnya dia memupuk minat yang lebih luas.

Kanak-kanak secara lahir memang mempunyai rasa ingin tahu dan suka belajar, justeru itu, sangat penting untuk memperkenalkan Alkitab kepada mereka pada usia awal. Mereka menjadi tertarik dengan janji-janji Tuhan yang luar biasa dan kisah-kisah menarik tentang para pahlawan dalam Alkitab. Apabila pengetahuan mereka semakin mendalam, mereka mulai memahami akibat dosa, kepentingan untuk bertaubat, dan kegembiraan kerana mempercayai Tuhan. Contohnya, fasal pertama Amsal adalah pengenalan yang baik tentang manfaat kebijaksanaan (Amsal 1:1–7). Kebijaksanaan bernilai yang terkandung dalam kitab ini menyinari pemahaman mengenai situasi kehidupan yang sebenar.

Memupuk sikap suka belajar terutama mengenai kebenaran rohani, dapat menolong kita menjadi lebih kuat dalam iman. Mereka yang berada dalam perjalanan iman selama beberapa dekad dapat terus mendalami pengetahuan tentang Tuhan sepanjang hidup mereka. Amsal 1:5 menasihati kita, “Amsal ini dapat menambah pengetahuan orang bijaksana dan dapat membimbing orang terpelajar.” Tuhan tidak akan berhenti mengajar kita jika kita bersedia untuk membuka hati dan minda kita kepada bimbingan dan petunjuk-Nya.