Pada abad ke-10, Abd al-Rahman III ialah pemerintah Cordoba, Sepanyol. Setelah mencapai pemerintahannya yang cemerlang selama 50 tahun (“dikasihi oleh rakyatku, ditakuti oleh musuhku, dan dihormati oleh sekutuku”), al-Rahman merenungkan kehidupannya dengan lebih mendalam. “Kekayaan dan kehormatan, kuasa dan kesenangan, aku telah memiliki semuanya,” katanya mengenai hak istimewanya. Tetapi ketika dia menghitung hari kebahagiaan sejati yang dialaminya selama itu, jumlahnya hanya 14 hari. Begitu mengejutkannya.
Penulis Pengkhutbah juga seorang yang kaya dan terhormat (Pengkhutbah 2:7–9), dia memiliki kuasa dan keseronokan (1:12; 2:1–3). Penilaian hidupnya sendiri adalah juga sangat mengejutkan. Dia menyedari kekayaan hanya mengarah kepada lebih banyak keinginan (5:10-11), sementara “keseronokan tidak membawa faedah” (2:1-2), dan kejayaan mungkin hanya satu kebetulan dan bukan semestinya berdasarkan kemampuan (9:11). Tetapi penilaiannya tidak begitu suram seperti penilaian al-Rahman. Sumber kebahagiaan utamanya ialah mempercayai Tuhan. Dia melihat bahawa makan, bekerja dan berbuat baik, semuanya dapat dinikmati ketika dilakukan bersama dengan Tuhan (2:25; 3:12–13).
“Aduhai!” al-Rahman mengakhiri renungannya, “jangan meletakkan keyakinan anda di dunia sekarang ini!” Penulis Pengkhutbah pasti bersetuju dengan pernyataan ini. Oleh sebab Tuhan telah memberi kekekalan dalam hati kita (3:11), keseronokan dan pencapaian duniawi tidak akan memberi kepuasan. Kebahagiaan sejati mungkin diperoleh dalam makanan, pekerjaan dan hidup kita apabila kita bersama dengan Dia.