Sempena acara promosi pada tahun 2011, dua mantan pemain Liga Bola Sepak Kanada yang berusia 73 tahun saling menumbuk di atas pentas. Ini berpunca daripada dendam yang diakibatkan oleh kejohanan pertandingan bola sepak yang kontroversial pada tahun 1963. Setelah salah seorang terjatuh dari pentas, orang ramai berteriak “lepaskannya!” dan menasihati mereka supaya berdamai.

Alkitab mengandungi banyak contoh orang yang “menyimpan dendam.” Kain menyimpan dendam terhadap adiknya Habel kerana Tuhan lebih berkenan terhadap persembahan Habel (Kejadian 4:5). Dendam ini sangat parah sehingga “Kain menyerang adiknya lalu membunuh dia” (ayat 8). “Esau membenci Yakub” kerana Yakub mencuri berkat yang sepatutnya milik anak sulung (27:41). Dendam ini sangat kuat sehingga menyebabkan Yakub melarikan diri dalam ketakutan.

Alkitab bukan hanya memberikan contoh tentang orang-orang yang menyimpan dendam, tetapi juga memberikan petunjuk kepada kita tentang cara “berdamai” serta mendapatkan pengampunan dan perdamaian. Tuhan memanggil kita mengasihi orang lain (Imamat 19:18), berdoa dan mengampuni orang-orang yang menghina dan menganiayai kita (Matius 5:43–47), hidup damai dengan semua orang, biar Tuhan yang membalas dendam, dan mengalahkan kejahatan dengan kebaikan (Roma 12:18–21). Dengan kuasa-Nya, semoga kita dibebaskan daripada genggaman dendam pada hari ini juga.