Adakah kita sudah sampai? / Belum lagi. / Adakah kita sudah sampai? / Belum lagi. Itulah permainan berulangan yang kami mainkan selama 16 jam pertama dalam perjalanan pulang (dan pastinya bukan kali terakhir) ke Arkansas dari Colorado ketika anak-anak kami masih kecil. Anak sulung dan anak kedua saya terus-menerus bermain permainan itu. Sekiranya saya mengeluarkan RM1.00 setiap kali mereka bertanya, tentu saya sudah memiliki timbunan wang ringgit. Itulah soalan yang anak-anak saya sangat ingin tahu, tetapi saya (pemandu) juga turut tertanya-tanya, Adakah kita sudah sampai? Jawapannya ialah Belum lagi, tetapi sekejap lagi.
Sejujurnya, kebanyakan orang dewasa menanyakan soalan itu dengan pelbagai cara, walaupun kita mungkin tidak menyuarakannya dengan lantang. Tetapi kita menanyakannya untuk alasan yang sama kerana kita berasa penat, dan mata kita menjadi “rabun dan bengkak kerana terlalu banyak menangis” (Mazmur 6:8). Kita “tidak bermaya kerana dilanda kesedihan” (ayat 7) tentang banyak hal, termasuk masalah pekerjaan, kesihatan, hubungan dan sebagainya yang berlaku secara berterusan. Kita berseru: “Adakah kita sudah sampai? Berapa lama lagi, ya TUHAN?”
Pemazmur benar-benar tahu keletihan sedemikian. Dia dengan jujur menyuarakan soalan penting itu kepada Tuhan. Seperti bapa yang prihatin, Dia mendengar tangisan Daud, dan dalam rahmat-Nya yang besar, Dia mengabulkan doanya (ayat 10). Usahlah kita malu untuk bertanya. Demikian juga dengan anda dan saya, kita dapat menghampiri Bapa kita yang di syurga dengan berani dan laungan yang jujur “Sampai bilakah?” dan jawapan-Nya mungkin “Belum lagi, tetapi sekejap lagi. Aku Tuhan yang baik. Percayalah kepada-Ku.”