Kesempurnaan merupakan salah satu perkataan yang paling menakutkan bagi aku,” tulis Kathleen Norris. Dia dengan serius membandingkan kesempurnaan zaman moden dengan kesempurnaan yang dijelaskan dalam kitab Matius. Kesempurnaan zaman moden digambarkannya sebagai “penyakit psikologi serius yang membuat orang terlalu takut untuk menghadapi risiko yang mungkin ada.” Tetapi perkataan “sempurna” yang diterjemahkan dalam kitab Matius sebenarnya bermaksud matang, lengkap atau utuh. Norris menyimpulkan, “Untuk menjadi sempurna … seseorang harus bertumbuh dan menjadi cukup matang supaya membawa manfaat kepada orang lain.”

Setelah memahami konsep kesempurnaan ini, kita dapat mengerti kisah Matius 19 yang mendalam: seorang lelaki bertanya kepada Yesus apa kebaikan yang dapat dilakukannya untuk “beroleh hidup sejati dan kekal” (ayat 16). Yesus menjawab, “Taatilah hukum Allah” (ayat 17). Lelaki itu berfikir bahawa dia telah mentaati semuanya itu, tetapi dia sedar bahawa dia perlu berbuat sesuatu. “Adakah lagi yang harus saya lakukan?” (ayat 20) soalnya.

Ketika itulah Yesus mengenal pasti kekayaan lelaki itu sebagai cengkaman yang menghambat hatinya. Yesus mengatakan bahawa jika dia ingin “menjadi sempurna” sepenuhnya, bersedia memberi dan menerima bantuan daripada orang lain dalam Pemerintahan Tuhan, maka dia harus rela melepaskan apa yang menutup hatinya daripada membantu orang lain (ayat 21).

Kita masing-masing mempunyai konsep kesempurnaan tersendiri. Jika kita ingin berpaut pada harta benda atau kebiasaan, segala ini hanya usaha yang sia-sia. Hari ini, terimalah jemputan Yesus yang lembut untuk berserah kepada Dia, dan temukan kebebasan dalam kesempurnaan yang hanya ada dalam Dia (ayat 26).