Pada suatu petang Sabtu, kami pergi ke sebuah taman di tepi sungai yang tenang. Di situ, orang-orang sedang berjoging, memancing, serta burung camar yang berebut-rebut sisa-sisa ikan dan kentang goreng, manakala saya dan isteri duduk memerhatikan satu pasangan. Mereka mungkin berusia akhir 40-an, bertutur dalam bahasa asing. Wanita itu duduk menatap mata pasangannya sementara lelaki itu tanpa segan menyanyikan lagu cinta dalam bahasanya sendiri. Kami turut mendengar nyanyiannya yang dibawa angin.

Tindakan sedemikian yang membawa kegembiraan, membuat saya terfikir tentang kitab Zefanya. Pada zaman Zefanya, umat Tuhan telah menjadi jahat dengan menyembah tuhan-tuhan palsu (1:4-5), para nabi dan imam Israel mula menjadi angkuh serta tidak senonoh (3:4). Sebahagian besar kitab itu, Zefanya menyatakan penghakiman Tuhan yang akan datang bukan hanya kepada umat Israel, tetapi semua bangsa di bumi (ayat 8).

Meskipun demikian, Zefanya bernubuat tentang perkara lain. Pada hari yang gelap itu, orang-orang yang mengasihi Tuhan sepenuh hati akan muncul (ayat 9-13). Bagi orang-orang ini, Tuhan akan menjadi seperti pengantin lelaki yang senang dengan kekasih-Nya: “Dia memberi kamu hidup baru kerana Dia mengasihi kamu. Kamu menyukakan hati-Nya, maka Dia akan menyanyi dengan gembira” (ayat 17).

Pencipta, Bapa, Pahlawan, Hakim. Alkitab menggunakan banyak gelaran untuk Tuhan. Tetapi siapakah antara kita yang melihat Tuhan sebagai Penyanyi yang menyanyikan lagu kasih untuk kita?