Oliver Cromwell, yang dikenal sebagai “Tuan Penaung England,” merupakan seorang komandan tentera pada abad ke-17. Pada masa itu, orang-orang penting biasanya mengupah orang untuk melukis potret mereka. Namun, seorang pelukis akan mengelak daripada melukis aspek wajah seseorang yang kurang menarik. Bagaimanapun, Cromwell tidak mahu potretnya menjadikan dia lebih elok daripada yang sebenarnya. Dia mengingatkan pelukis itu, “Kamu mesti melukis aku seadanya, dengan ketuat dan semua baik buruk yang ada pada wajahku. Jika tidak, aku tidak akan membayar kamu.”
Pelukis itu menuruti apa yang dimintanya. Potret Cromwell yang sudah selesai memaparkan beberapa ketuat menonjol pada wajahnya, gambar seperti ini pada masa sekarang pasti akan diedit dengan sempurna sebelum dipaparkan di media sosial.
Setiap orang harus diterima seadanya, bahkan semua kesalahan, sikap dan masalah mereka yang menjengkelkan. Dalam beberapa kes, kita merasakan tugas itu terlalu sukar. Tetapi ketika kita mengamati diri kita, kita mungkin akan menemukan beberapa sifat kita yang tidak baik.
Kita bersyukur kerana Tuhan mengampunkan kelemahan kita ibarat ketuat. Dalam Kolose 3, kita diajar supaya menjadi saluran kasih kepada orang lain. Rasul Paulus mendorong kita untuk lebih sabar, baik hati dan berbelas kasihan, bahkan mengasihi orang yang kita tidak suka. Dia menggesa kita saling mengampuni sebagaimana Tuhan mengampuni kita (ayat 12–13). Melalui teladan-Nya, kita diajar untuk mengasihi orang lain seperti Tuhan mengasihi kita seadanya―ketuat dan semua baik buruk kita.
ILHAM
Hampir setiap surat dalam Alkitab menyebut bahawa kita yang percaya kepada Yesus telah “dipilih” atau “dipanggil” oleh Tuhan. Sesetengah orang mempercayai bahawa jikalau Tuhan telah membuat pilihan, kita tidak mempunyai pilihan lain. Namun para rasul mengabdikan hidup mereka untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang Yesus kepada dunia ini. Mereka mengetahui bahawa kedudukan istimewa kita membawakan kewajipan yang sangat besar.Satu cara genting untuk kita berkongsi Berita Baik ini adalah dengan menjalani kehidupan yang berbeza. Dalam Kolose 3:5-9, Paulus menulis tentang perkara-perkara yang kita mesti matikan: perbuatan cabul, mengamuk, mempunyai perasaan benci terhadap orang lain, mencaci maki orang, berdusta, dan perkara-perkara semacam itu (Kolose 3:5-9). Sekarang, sebagai “orang-orang pilihan Allah”, kita seharusnya mempunyai gaya kehidupan yang amat berbeza—ditandakan dengan kualiti-kualiti yang mengikut teladan Kristus (ayat 12, TB). Apabila kita bertindak balas kepada kejengkelan dan ketidakadilan hidup dengan rahmat dan kesejahteraan daripada Roh Yesus, dunia akan melihat perbezaan yang kita bawa.