Pada tahun 1896, seorang penjelajah bernama Carl Akeley telah dikejar oleh seekor harimau bintang kira-kira seberat 36 kilogram di bahagian terpencil negara Etiopia. Dia teringat harimau bintang itu menerkam dan cuba “membenamkan giginya ke dalam tekak saya.” Binatang ini terlepas peluangnya, tetapi merobek lengan kanan Akeley dengan rahangnya yang kuat. Kedua-duanya bergelut di atas pasir—satu pergelutan yang panjang dan sengit. Akeley semakin lemah, dan sedar bahawa pergelutan “ini menjadi persoalan siapa yang akan mengalah terlebih dahulu.” Dengan tenaga terakhirnya, Akeley akhirnya berjaya mencekik kucing besar itu dengan menggunakan tangannya sahaja.

Rasul Paulus menjelaskan setiap orang yang percaya kepada Yesus pasti akan menghadapi pergelutan sengit kita sendiri, yakni pada waktu kita berasa sudah tidak berdaya dan tergoda untuk menyerah kalah sahaja. Bagaimanapun, kita mesti “mempertahankan diri daripada muslihat Iblis yang jahat” dan “bersiap sedia” (Efesus 6:11, 14). Kita tidak patut berasa takut atau rebah ketika kita mengakui kelemahan dan betapa mudah kita diserang, sebaliknya Paulus mencabar kita melangkah ke hadapan dengan iman, sambil mengingatkan diri bahawa kita bukan bergantung pada keberanian dan kekuatan kita sendiri, tetapi bergantung pada Tuhan. “Binalah kekuatan kamu dengan menerima kekuatan daripada kuasa Tuhan,” katanya (ayat 10). Dalam cabaran-cabaran yang kita hadapi, kita hanya perlu berdoa kepada Tuhan (ayat 18).

Ya, kita mempunyai banyak pergelutan dan kita tidak dapat mengelakkan semua itu dengan kuasa atau kepintaran kita sendiri. Tetapi Tuhan jauh lebih berkuasa daripada semua musuh atau kejahatan yang akan kita hadapi.