Setelah seorang pelanggan meletakkan barang-barang yang dibelinya di stesen pembayaran kendiri di sebuah kedai runcit, saya pun pergi ke stesen tersebut dan terus mengimbas barang-barang saya. Tanpa diduga, seorang yang kelihatan marah menghadapi saya. Saya tidak menyedari dia sebenarnya berada di barisan sebelum saya untuk membuat pembayaran. Apabila menyedari kesalahan saya, saya dengan ikhlas berkata, “Maafkan saya.” Namun dia menjawab, “Tidak, kamu tidak dimaafkan!”
Pernahkah anda berada dalam situasi bahawa anda berbuat salah, namun ditolak walaupun anda mengakui kesalahan itu dan cuba memperbaikinya? Rasanya tidak senang ketika terjadi salah faham atau salah sangka, dan semakin dekat kita dengan orang yang disakiti perasaannya atau orang yang menyinggung perasaan kita, hal itu semakin menyakitkan. Betapa kita berharap mereka dapat melihat hati kita!
Gambaran nabi Yesaya dalam Yesaya 11:1-5 adalah tentang seorang penguasa yang dilantik oleh Tuhan dengan bijaksana untuk melaksanakan penghakiman yang sempurna. “Dia tidak menghakimi orang secara sekilas pandang ataupun berdasarkan kata orang. Dia menghakimi perkara orang miskin dengan adil, dan membela hak orang yang lemah. Dengan perintahnya bumi dihukum, dan orang jahat akan dibinasakan” (ayat 3-4). Ini digenapi dalam kehidupan dan pelayanan Yesus. Oleh sebab dosa dan kelemahan, kita sering tidak melakukannya dengan benar. Namun hati kita dapat dikuatkan dengan keyakinan bahawa Tuhan Syurgawi kita yang maha melihat dan maha mengetahui akan mengenal kita sepenuhnya dan menilai kita dengan benar.