Melanie dan rakannya Trevor telah mengembara bersama dengan berjalan kaki sejauh berbatu-batu melewati denai pergunungan. Namun mereka tidak mungkin dapat melakukannya tanpa satu sama lain. Melanie harus menggunakan kerusi roda kerana dilahirkan dengan penyakit spina bifida (kecacatan tulang belakang). Trevor pula kehilangan penglihatan kerana penyakit glaukoma (sejenis penyakit mata kerana tekanan di dalam mata). Kedua-duanya menyedari bahawa mereka saling melengkapi kekurangan masing-masing untuk menikmati belantara Colorado: Semasa berjalan di laluan, Trevor menggendong Melanie di belakangnya; sementara itu, Melanie menunjukkan arah jalan secara lisan kepadanya. Mereka menggambarkan diri sebagai “pasukan impian.”
Paulus menggambarkan orang percaya dalam Yesus, iaitu tubuh Kristus sebagai “pasukan impian.” Dia menggesa jemaah di Roma untuk mengenal pasti kurnia masing-masing supaya memberi manfaat kepada kumpulan yang lebih besar. Seperti tubuh fizikal kita terdiri daripada banyak bahagian, masing-masing dengan fungsi yang berbeza, maka bersama-sama kita membentuk “satu tubuh [rohani]” dan kurnia kita bertujuan demi kepentingan bersama gereja (Roma 12:5). Sama ada dalam bentuk pemberian, dorongan, pengajaran, atau kurnia-kurnia rohani yang lain, Paulus mengajar kita melihat diri dan kurnia kita sebagai milik bersama (ayat 5-8).
Melanie dan Trevor tidak menumpukan kekurangan mereka. Namun mereka juga tidak berbangga dengan apa yang dimiliki mereka berbanding dengan yang lain. Sebaliknya, mereka dengan sukacita memberikan “kurnia” mereka untuk 0saling bantu-membantu, dan menyedari bahawa mereka berdua dapat menjadi lebih baik dengan bekerjasama. Semoga kita dengan rela menggabungkan kurnia-kurnia yang diberikan Tuhan kepada kita dengan kurnia-kurnia anggota jemaah yang lain—demi Kristus.