Sedihnya tindakan mengkritik pendapat orang lain dan si pemilik pendapat itu telah menjadi “norma baharu.” Ini juga berlaku dalam kalangan cendekiawan. Atas sebab ini, saya terkejut apabila sarjana dan ahli teologi Richard B. Hays mengulas sebuah makalah dengan tegas dan bersemangat terhadap karya yang ditulisnya sendiri bertahun-tahun sebelumnya! Dalam makalah yang berjudul Reading with the Grain of Scripture (Membaca dengan Butir Alkitab), Hays menunjukkan sifat rendah hati yang ketara ketika dia membetulkan pemikiran masa lalunya sendiri, yang kini diperhalusi oleh komitmen sepanjang hayatnya dalam pembelajaran.
Ketika kitab Amsal diperkenalkan, Raja Salomo menyenaraikan pelbagai tujuan dalam koleksi kata-kata hikmat ini. Tetapi di tengah-tengah tujuan itu, dia menyelitkan ajaran ini, “Amsal ini dapat menambah pengetahuan orang bijaksana dan dapat membimbing orang terpelajar” (Amsal 1:5). Seperti rasul Paulus, yang mengatakan bahawa, walaupun setelah mengikut Kristus selama beberapa dekad, dia terus berusaha untuk mengenal Yesus (Filipi 3:10), Salomo menggesa orang bijak untuk mendengar, belajar, dan terus bertumbuh.
Mengekalkan semangat yang boleh diajar membawa manfaat kepada sesiapa pun. Apabila kita berusaha untuk terus bertumbuh dan belajar tentang hal-hal iman (dan hal-hal kehidupan), semoga kita mengizinkan Roh Kudus membimbing kita “mengetahui segala kebenaran itu” (Yohanes 16:13), supaya kita lebih memahami keajaiban, kebaikan dan keagungan Tuhan kita.