Kyle dan Allison menikmati bulan madu yang indah di luar negara. Namun, ketika mereka pulang ke rumah, mereka mendapati kaki Kyle menghidapi ruam yang pelik dan gatal. Pasangan ini pun berjumpa dengan pakar penyakit berjangkit. Doktor pakar itu memberitahu mereka bahawa parasit kecil telah menyelinap masuk ke kaki Kyle melalui lepuh yang disebabkan oleh sandal baharunya. Apa yang bermula sebagai percutian impian kini berakhir pula dengan pertempuran yang mencabar dengan “tetamu” yang tidak diingini.

Daud tahu bahawa jika dia tidak memohon pertolongan Tuhan untuk melawan dosa, impiannya untuk menjalani kehidupan yang menyenangkan hati Tuhan akan berubah menjadi pertempuran dengan dosa dan pemberontakan yang tidak diingini. Selepas mengisytiharkan bagaimana kemuliaan Tuhan dinyatakan dalam alam semula jadi (Mazmur 19:1-7) dan hikmat-Nya terkandung dalam perintah-Nya (ayat 8-11), Daud meminta Tuhan melindunginya daripada ketidaktaatan yang tidak sengaja dan keangkuhan yang disengajakan. “Ya TUHAN, bebaskanlah aku daripada kesalahan yang tersembunyi. Selamatkanlah aku juga daripada dosa yang disengajakan,” tulisnya (ayat 13-14). Dia menyedari bahawa dia tidak memiliki kuasa untuk mencegah dosa yang seperti penyakit berjangkit untuk menjejaskannya. Oleh itu, dia dengan bijak memohon pertolongan Tuhan.

Bagaimanakah kita dapat memastikan impian hidup kita adalah memuliakan Tuhan dan tidak akan dirampas oleh dosa? Marilah kita menumpukan pandangan kita kepada Tuhan, mengaku dan bertaubat daripada dosa kita, dan memohon pertolongan-Nya agar parasit rohani yang tidak diingini tidak akan mencemari kehidupan kita.