Beg snek kerepek itu kecil, tetapi memberi pengajaran besar kepada seorang mubaligh dari Amerika. Ketika bekerja pada suatu petang di Republik Dominika, dia tiba di sebuah pertemuan gereja dan membuka kerepeknya. Tiba-tiba seorang wanita yang tidak dikenalinya menghulurkan tangan dan mengambil sedikit kerepek dari beg itu. Orang lain pun turut berbuat demikian.

Biadab betul, fikir mubaligh itu. Kemudian dia menyedari bahawa dia harus rendah hati. Dia belum memahami budaya tempatan yang dia telah bersetuju untuk melayani. Dia tidak patut menekankan individualisme seperti di Amerika Syarikat, sebaliknya dia belajar bahawa kehidupan di Republik Dominika adalah hidup bermasyarakat. Berkongsi makanan dan barangan merupakan cara orang berhubungan antara satu sama lain. Konsep berkongsinya bukanlah lebih baik, cuma berbeza. Dia mengaku, “mengetahui perkara ini sungguh merendahkan hati saya.” Ketika dia mula menyedari sikap prasangkanya sendiri, dia juga belajar bahawa perkongsian yang rendah hati dengan orang lain membantu dia melayani mereka dengan lebih baik.

Petrus mengajarkan pelajaran ini kepada para pemimpin gereja: memperlakukan orang lain dengan rendah hati. Dia menasihati para pemimpin gereja supaya “janganlah bertindak sebagai penguasa terhadap orang yang dipercayakan kepada kamu” (1 Petrus 5:3). Bagi mereka yang lebih muda, dia berkata, “hendaklah kamu taat kepada orang yang lebih tua. Hendaklah kamu semua merendahkan diri” (ayat 5). Seperti yang dinyatakan Petrus: “Allah menentang orang yang sombong, tetapi Dia merahmati orang yang rendah hati.” Oleh itu, “rendahkanlah diri kamu ke bawah tangan Allah yang berkuasa, supaya Dia meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan-Nya” (ayat 6). Semoga Tuhan menolong kita hidup dengan rendah hati di hadapan-Nya dan orang lain hari ini.