Dalam buku klasiknya The Human Condition (Keadaan Manusia), Thomas Keating berkongsi kisah ini yang tidak dapat dilupakan. Seorang guru yang telah kehilangan kunci rumahnya, merangkak di atas rumput untuk mencarinya. Ketika murid-muridnya melihat dia, mereka pun turut menyertai pencarian itu tetapi tidak berjaya. Akhirnya, “salah seorang murid yang lebih pintar” bertanya, “Cikgu, tahukah di mana mungkin kunci itu hilang?” Guru mereka menjawab, “Sudah tentu. Kunci saya hilang di dalam rumah.” Murid-murid itu terus berseru, “Jadi kenapa kita cari di sini?” Jawabnya, “Bukankah jelas? Di luar sini ada lebih banyak cahaya.”
Kita telah kehilangan kunci untuk mengalami “keakraban dengan Tuhan, dan hadirat Tuhan yang penuh kasih,” Keating menyimpulkan. “Tanpa pengalaman itu, tiada apa-apa lagi yang berkesan; dengannya, hampir segala-galanya berfungsi.”
Betapa mudahnya kita melupakan, walaupun dalam suka duka kehidupan, Tuhan tetap menjadi kunci kepada kerinduan kita yang paling dalam. Namun apabila kita bersedia untuk berhenti mencari Tuhan di semua tempat yang salah, Dia ada di sana, bersedia untuk menunjukkan kita rehat yang sebenar. Dalam Matius 11, Yesus memuji Bapa kerana mengungkapkan jalan-jalan-Nya, bukan untuk “orang yang bijak pandai,” tetapi “kepada orang yang tidak terpelajar” (ayat 25). Kemudian Dia mengajak “semua yang lelah kerana memikul beban yang berat” (ayat 28) datang kepada-Nya dan berehat.
Seperti kanak-kanak kecil, kita dapat memperoleh rehat sejati semasa kita mempelajari cara-cara Guru kita, yang “lemah lembut dan rendah hati” (ayat 29). Tuhan ada di sana, ingin sekali menyambut kita pulang.