Di bawah langit malam musim bunga tahun 2020, peluncur air meluncur ombak bioluminesensi di sepanjang pinggir pantai San Diego. Persembahan cahaya di dalam laut ini disebabkan oleh organisma mikroskopik yang dipanggil fitoplankton, satu nama yang berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud “pengembara” atau “perantau.” Pada siang hari, organisma hidup ini menghasilkan arus merah dan menyerap cahaya matahari yang menukarkannya menjadi tenaga kimia. Apabila makhluk kecil ini diganggu pada waktu malam, ia akan menghasilkan cahaya biru elektrik.

Orang yang mempercayai Yesus ialah warga syurga, yang sama dengan alga arus merah dan hidup seperti pengembara atau perantau di dunia. Apabila keadaan sukar mengganggu rancangan kita yang tersusun, Roh Kudus akan menguatkan kita untuk bertindak seperti Yesus―Cahaya Dunia―agar kita boleh memantulkan cahaya-Nya dalam kegelapan. Menurut rasul Paulus, tiada benda yang lebih bernilai daripada hubungan baik kita dengan Tuhan dan kebenaran yang datang kerana kepercayaan kepada-Nya (Filipi 3:8-9). Kehidupan Paulus membuktikan bahawa mengenali Yesus dan kuasa kebangkitan-Nya akan mengubah kita, mempengaruhi cara hidup kita dan cara kita memberi respons ketika pencubaan mengganggu kehidupan kita (ayat 10–16).

Apabila kita meluangkan masa bersama-sama Anak Tuhan setiap hari, Roh Kudus akan melengkapi kita dengan kebenaran yang kita perlukan―membolehkan kita menghadapi setiap cabaran di dunia ini dengan menyinarkan perwatakan Kristus (ayat 17–21). Kita boleh menjadi cahaya yang memantulkan kasih dan harapan Tuhan, menembusi kegelapan sehingga hari Dia memanggil kita pulang ke syurga atau kedatangan-Nya yang kedua kali.