Waktu itu sudah tengah hari, namun matahari tidak kelihatan. Hari Gelap di New England jatuh pada 19 Mei 1780, bermula dari awal pagi dan berlanjutan sehingga beberapa jam. Kegelapan yang di luar realiti ini kemungkinan besar disebabkan oleh kepulan asap tebal berpunca daripada kebakaran hutan yang tidak terkawal di Kanada, sehingga ramai orang tertanya-tanya jika Hari Kiamat sudah tiba pada hari itu.
Majlis gabenor (senat) di negeri Connecticut sudah dimulakan. Apabila kebanyakan ahli majlis mencadangkan untuk menangguhkan majlis tersebut disebabkan oleh kegelapan hari itu, ahli majlis dan hakim, Abraham Davenport membalas dengan tegas, “Saya tidak setuju untuk menangguhkan majlis ini”. Hari Kiamat sama ada semakin hampir, ataupun tidak akan tiba. Jikalau hari penghakiman tidak terjadi pada hari ini, kita tiada sebab yang munasabah untuk menangguh mesyuarat; sekiranya benar-benar tiba pun, saya memilih untuk menunaikan tanggungjawab saya. Jadi, sila sediakan lilin.
Keinginan Davenport untuk setia menunaikan tanggungjawabnya yang diberikan oleh Tuhan pada hari kedatangan-Nya menggemakan kata-kata Yesus. “Bersiap-siaplah untuk menghadapi apa sahaja. Kamu harus sentiasa siap sedia dengan pelita yang menyala. Hendaklah kamu seperti hamba yang sedang menantikan tuan mereka balik daripada jamuan perkahwinan. Apabila tuan itu balik dan mengetuk pintu, dengan segera mereka akan membuka pintu. Alangkah bahagianya hamba-hamba yang didapati berjaga dan siap sedia ketika tuan mereka kembali! Percayalah, tuan itu akan menanggalkan jubah, dan menyuruh hamba-hambanya duduk lalu melayani mereka” (Lukas 12:35-37).
Siang mahupun malam sentiasa merupakan waktu yang indah untuk melayani Penyelamat kita. Walaupun dalam kegelapan, janji-Nya kepada semua orang yang menantikan-Nya tidak berubah dan akan ditunaikan. Umpama cahaya lilin dalam kegelapan, semoga “cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik” (Matius 5:16) serta mengasihi dan melayani Dia.