Ketika Menara Kembar Pusat Dagangan Dunia runtuh pada 11 September 2001, Greg Rodriguez merupakan salah seorang mangsa yang terkorban dalam kejadian tersebut. Ibunya, Phyllis dan bapanya bersedih kerana kehilangan anak mereka, tetapi mereka juga memikirkan dengan teliti tentang tindak balas mereka terhadap serangan yang mengerikan itu. Pada tahun 2002, Phyllis bertemu dengan Aicha el-Wafe, ibu kepada salah seorang yang dituduh bersubahat dengan pengganas-pengganas tersebut. Phyllis berkata dia “mendekati ibu itu dan memeluknya. Kami saling berpelukan dan menangis . . . Untuk Aicha dan saya, kami dapat merasakan ikatan yang serta merta antara kami. . . Kami berdua telah mengalami penderitaan kerana apa yang terjadi pada anak-anak lelaki kami.”

Phyllis dan Aicha bertemu di tengah-tengah kepedihan dan kesedihan yang dikongsi bersama. Walaupun Phyllis mempunyai alasan yang wajar untuk berasa marah atas kematian anaknya, namun itu tidak dapat menyembuhkan penderitaannya. Apabila mendengar tentang kisah keluarga Aicha, Phyllis berasa belas kasihan dan menentang godaan untuk memandang mereka sebagai musuh. Dia menginginkan keadilan, tetapi dia percaya bahawa kita mesti melepaskan keinginan untuk membalas dendam yang sering kali mencengkam kita apabila kita telah dianiaya.

Rasul Paulus juga berkongsi tentang keyakinan tersebut yang memperingatkan kita agar “Janganlah berdengki, geram, dan marah. Jangan lagi bertengkar dan memfitnah orang. Jangan lagi benci sesiapa pun” (Efesus 4:31). Apabila kita melepaskan segala kuasa yang membawa kemusnahan ini, Roh Tuhan akan memenuhi kita dengan perspektif yang baharu. “Hendaklah kamu baik hati, saling berbelas kasihan,” kata rasul Paulus (ayat 32). Kesalahan dapat diperbetulkan tanpa mempunyai perasaan marah dan dendam. Semoga Roh Kudus menolong kita menunjukkan belas kasihan yang mengatasi kepahitan.