Michael sedang menyelam untuk menangkap udang galah ketika seekor ikan paus kelasa memerangkap Michael dalam mulutnya. Michael cuba bergelut dalam keadaan gelap sementara badannya dihimpit otot-otot ikan paus tersebut. Michael berfikir bahawa dia telah menemui ajalnya. Namun ikan paus itu tidak menggemari nelayan penangkap udang galah sebagai makanannya, dan selepas 30 saat, ikan paus tersebut meludahkan Michael ke udara. Apa yang mengagumkan ialah Michael tidak mengalami apa-apa patah tulang —cuma mendapat lebam di seluruh badan dan pengalaman bersama seekor ikan paus.

Michael bukanlah orang pertama yang melalui pengalaman sebegini. Yunus juga telah ditelan oleh seekor “ikan besar” (Yunus 1:17), dan Yunus terperangkap dalam perut ikan tersebut selama tiga hari sebelum dia dimuntahkan ke darat. (1:17; 2:10). Tidak seperti Michael yang terperangkap dalam mulut ikan paus secara tidak sengaja, Yunus ditelan kerana membenci musuh Israel dan tidak mahu mereka bertaubat. Sewaktu Tuhan mengarahkan Yunus untuk berkhutbah di Niniwe, Yunus pula menaiki sebuah bot yang menghala ke arah yang bertentangan. Justeru, Tuhan menghantar seekor ikan sebesar ikan paus untuk menyedarkan Yunus.

Saya memahami mengapa Yunus membenci orang Asyur. Orang Asyur telah lama menindas orang Israel pada masa yang lalu, dan dalam jangka masa 50 tahun, mereka telah menawan suku-suku di kawasan utara sehinggalah mereka lenyap selamanya. Kita dapat memahami perasaan Yunus yang tersinggung apabila mengetahui orang Asyur berkemungkinan akan diampuni.

Namun kesetiaan Yunus kepada umat Tuhan telah melebihi kesetiaannya kepada Tuhan. Tuhan mengasihi musuh-musuh Israel dan ingin menyelamatkan mereka. Tuhan juga mengasihi musuh-musuh kita dan ingin menyelamatkan mereka. Dengan tiupan angin oleh Roh Tuhan di belakang kita, marilah kita belayar ke arah musuh-musuh kita dengan membawa berita baik tentang Yesus.