Pada Ogos tahun 2021, bandar Waverly di Tennessee telah dilanda ribut hujan yang memecah rekod sebanyak tiga kali ganda berbanding dengan apa yang diramalkan. Ekoran daripada ribut kencang tersebut, sebanyak 20 orang telah terkorban dan ratusan rumah telah dimusnahkan. Kalau bukan kerana simpati dan kemahiran yang ditunjukkan oleh Joel Boyers, seorang juruterbang helikopter, kemungkinan besar lebih ramai nyawa akan terkorban.
Juruterbang tersebut berlepas setelah menerima panggilan daripada seorang wanita yang khuatir akan keselamatan keluarganya. Di samping melihat beberapa buah rumah yang terbakar dan kereta-kereta yang tersangkut pada pokok, Joel Boyers berkata, “Semuanya hanya tinggal air banjir yang berlumpur dan deras di bawah saya.” Walau bagaimanapun, juruterbang tersebut telah berjaya menyelamatkan 12 orang yang terkandas di atas bumbung rumah mereka dengan berani.
Kebanyakan masa dalam hidup kita, kita akan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, umpama dilanda oleh banjir yang besar. Pada hari-hari yang tidak menentu dan tidak stabil, kita akan berasa “tenggelam” dan tidak selamat—disertai perasaan buntu dari segi mental, emosi dan rohani. Namun, kita tidak perlulah berputus harapan.
Dalam Mazmur 18, kita dapat mengetahui tentang musuh-musuh Daud yang berkuasa dan bilangan yang banyak, tetapi Tuhannya lebih hebat. Betapa hebatnya Tuhan? Sangat hebat dan berkuasa (ayat 2) sehinggalah Daud menggunakan pelbagai metafora untuk menggambarkan-Nya. Tuhan cukup berkuasa untuk menyelamatkan orang dari air yang dalam dan menentang musuh yang kuat (ayat 17-18). Betapa hebatnya Tuhan? Tuhan cukup berkuasa untuk kita memanggil-Nya dalam nama Yesus, tanpa mengira betapa besarnya dan dalamnya “air” yang mengelilingi kehidupan kita (ayat 4).