“Papa, tengok!” “Pokok-pokok itu melambai-lambai kepada Tuhan!” Semasa kami memerhatikan dahan-dahan pokok Betula (birch) yang berayun-ayun apabila ditiup oleh angin kencang, saya tersenyum melihat cucu saya yang begitu teruja. Hal itu membuat saya bertanya-tanya pada diri sendiri, adakah saya juga mempunyai iman yang imaginatif seperti itu?
Ketika seorang penyair yang bernama Elizabeth Barett Browning merenungkan kisah Musa dan belukar yang terbakar, dia menulis, “Bumi penuh dengan syurga, / Setiap semak menyala dengan Tuhan, / Tetapi hanya dia yang melihat, menanggalkan kasutnya.” Hasil kerja tangan Tuhan adalah nyata dalam semua keajaiban yang telah diciptakan-Nya, dan pada suatu hari kelak, apabila bumi ini diperbaharui, kita akan melihat perkara yang kita tidak pernah lihat sebelum ini.
Tuhan memberitahu kita bahawa hari tersebut akan tiba ketika Dia mengisytiharkan melalui nabi Yesaya, “Kamu akan meninggalkan Babel dengan sukacita, kamu akan dipimpin keluar dari kota itu dengan kedamaian. Gunung dan bukit akan bernyanyi dengan gembira, semua pokok di padang akan bertepuk tangan” (Yesaya 55:12). Gunung-gunung akan bernyanyi? Pokok-pokok akan bertepuk tangan? Mengapa tidak? Paulus menyatakan “bahawa pada suatu hari alam semesta akan dibebaskan daripada kuasa yang menghancurkannya, lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan dengan anak-anak Allah”(Roma 8:21 ).
Yesus pernah menyebut tentang batu-batu yang berseru (Lukas 19:40), dan kata-kata-Nya bergema dengan nubuat Yesaya tentang apa yang bakal dihadapi oleh mereka yang datang kepada-Nya untuk penyelamatan. Apabila kita memandang kepada Tuhan dengan iman dan membayangkan bahawa hanya Tuhan yang boleh melakukan segala sesuatu, kita akan melihat keajaiban-Nya yang berterusan selama-lamanya.